SETIAP umat Islam menyimpan impian untuk mati syahid di jalan ALLAH SWT memandangkan ia memberi jaminan senang masuk ke syurga, bayangkan betapa leganya individu yang mati syahid apabila berjaya melepasi siksaan kubur tanpa perlu dihisab. Di kaca televisyen dan di dada akbar sering menyiarkan berserinya wajah perajurit yang gugur di medan peperangan atas niat kerana ALLAH!.

Pengertian mati syahid dari segi bahasa adalah Muslim yang maut ketika berperang atau berjuang di jalan ALLAH bertujuan membela kebenaran atau mempertahankan hak dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menegakkan agama ALLAH.

Rehal mengupas mengenai mati syahid di jalan ALLAH atau syahid fi sabilillah. Jelaslah bahawa mati syahid banyak peringkatnya dan mempunyai banyak cabang.


Mati syahid kerana ALLAH

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

“Apabila hari kiamat kelak ALLAH akan menghukum antara semua makhluk dan semua umat bertekuk lutut, dan pertama dipanggil ialah orang mengerti al-Quran, orang mati fisabilillah dan orang kaya. ALLAH menanyakan kepada orang pandai al-Quran:

“Tidakkah Aku telah mengajar kepada mu apa yang Aku turunkan kepada utusan-Ku?

Jawab orang itu: Benar Tuhan-ku. Lalu kau berbuat apa terhadap apa yang engkau ketahui itu? Jawabnya: Saya mempelajarinya pada waktu malam dan mengerjakannya pada waktu siang.

Firman ALLAH : Dusta kau. Malaikat juga berkata: Dusta kau, sebaliknya kau ingin disebut qari, ahli dalam al-Quran, dan sudah disebut yang demikian.

Dipanggil orang kaya dan ditanya: Engkau berbuat apa terhadap harta yang Aku berikan kepada mu? Jawabnya: Saya menggunakan untuk membantu kaum keluarga dan bersedekah. Jawab ALLAH: Dusta kau. Malaikat pun berkata: Dusta kau, kau berbuat begitu kerana ingin disebut sebagai dermawan.

Lalu dihadapkan orang yang mati berjihad fisabilillah lalu ditanya: Kenapa kau terbunuh? Jawabnya: Saya berperang menegakkan agama-Mu sehingga terbunuh. ALLAH berfirman: Dusta engkau. Dan malaikat juga berkata: Dusta engkau, kau hanya ingin disebut sebagai seorang pahlawan yang gagah berani dan sudah disebut sedemikian.”

Kemudian Baginda memukul lututku (pahaku) sambil bersabda bermaksud: “Hai Abu Hurairah, ketiga orang itulah yang pertamanya dibakar dalam api neraka pada hari kiamat.”

Pendakwah Bebas, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, hadis itu menjelaskan golongan tersebut melakukan amal kebajikan atau berjuang bukan kerana ALLAH tetapi di atas dasar nama dan jawatan.

“Kita menunaikan solat, berpuasa, mengerjakan haji tetapi kita sendiri tidak tahu sama ada setiap perbuatan ikhlas atau tidak malah malaikat Rakib dan Atid yang mencatit amalan juga tidak mengetahuinya. Semua amalan dilakukan dibawa menghadap ALLAH dan hanya Dia yang tahu tahap keikhlasan manusia menunaikan suruhan-Nya.

“Sama juga seperti berjuang di jalan ALLAH, jika niat untuk mendapat nama, diingati sebagai pahlawan dan namanya terpahat di mana-mana pun kalau bukan kerana ALLAH hanya sia-sia, ALLAH akan mencampakkan amalan itu ke dalam api neraka,” katanya.

Diceritakan daripada sahabat Nabi, terjadi dalam satu peperangan bersama Baginda ramai sahabat terkorban dan dalam ramai-ramai individu mati syahid itu Rasulullah mengatakan mayat lelaki ini masuk neraka kerana dia berperang bukan kerana ALLAH, sebaliknya untuk mendapat nama.

Dalam sejarah Islam, orang yang syahid buat pertama kalinya demi mempertahankan agama adalah seorang perempuan tua bernama Sumayyah binti Khabbab, mati syahid setelah balingan lembing Abu Jahal menepati sasarannya. Sumayyah adalah wanita pertama yang gugur syahid.


Mazhab Hanafi, Syafie membahaskannya

Sementara itu, Juara Program Realiti Solehah Musim Pertama, Amie Sofia Ahmad berkata, mati syahid perlu jelas sebagai contoh individu itu menghadapinya untuk menentang kemungkaran, peperangan dengan golongan kafir sama ada seseorang itu lelaki atau wanita tetapi mesti menepati syarat ditetapkan Islam.

“Ulama Hanafiah berpendapat istilah syahid adalah individu dibunuh golongan Musyrikin atau pun terbunuh dalam peperangan dengan mempunyai tanda-tanda jelas, sama ada secara zahir atau batin seperti keluarnya darah dari mata atau pun anggota lain seumpamanya.

“Bagi Imam Syafie pula mengatakan individu yang terbunuh dengan sebab memerangi golongan kuffar dengan niat ikhlas kerana ALLAH secara berhadapan dan bukannya terbunuh semasa lari dari medan pertempuran,” katanya.

Menurutnya, terdapat perbahasan mengenai mati syahid dalam kalangan ulama Islam, tetapi masyarakat di bumi ini perlu mengikut mazhab yang menjadi ikutan mereka, namun semuanya tetap sama di sisi ALLAH.


Istimewanya syahid di jalan ALLAH

Mati syahid dibahagikan kepada tiga, pertama syahid dunia iaitu individu yang syahid berpandukan hukum dunia tetapi tidak mendapat pahala syuhada di jalan ALLAH disebabkan terdapat unsur ketidakikhlasan dalam berjuang serta mempunyai kepentingan duniawi dalam melakukannya. Golongan ini tidak wajib disembahyangkan dan tidak dikapankan, sebaliknya disemadikan dengan pakaian dan darah yang masih melekat pada tubuh badan mereka.

Syahid dunia dan akhirat pula bermaksud individu berperang dalam serangan hendap memerangi musuh dan terbunuh untuk menegakkan kalimah ALLAH dengan niat ikhlas. Golongan ini tidak wajib disembahyangkan, tidak dikapankan dan jenazahnya disemadikan dengan pakaian serta darah masih melekat pada tubuh badan mereka.

Manakala yang syahid akhirat pula, mereka mati kerana bencana alam, dibunuh secara zalim, mempertahankan hak, mati kerana sakit pada bahagian perut, wanita mati ketika melahirkan anak, mati lemas, mati ketika menuntut ilmu dan sebagainya. Jenazah mereka diuruskan seperti biasa.

Bagi syahid dunia, si mati sangat bertuah kerana dia berpeluang masuk ke syurga tanpa perlu dihisab dan terlepas daripada seksaan kubur, cuma yang melambatkan proses itu adalah jika dia tidak menyelesaikan hutangnya.

Ganjaran sama menanti orang meninggal akibat syahid dunia dan akhirat walaupun mereka tidak berperang contohnya tentera Israel menembak mati rakyat Palestin, dia terus masuk syurga tanpa sebarang hisab. Dan ia berbeza dengan syahid akhirat. Syahid akhirat akan dihisab dan tidak terlepas seksaan kubur.

Nabi Muhammad SAW bersabda orang mati syahid terdapat enam keistimewaan kepadanya, diampuni dosa sejak mulai pertama darahnya keluar, dapat melihat tempatnya di syurga, terlindung daripada azab kubur, terjamin keamanan daripada malapetaka besar, dapat merasakan kemanisan Iman, dikahwinkan dengan bidadari dan diperkenankan memberi syafaat bagi 70 kerabatnya. (Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Firman ALLAH: “Sesungguhnya ALLAH membeli daripada orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan ALLAH (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga demikian ialah) sebagai janji benar, ditetapkan ALLAH dalam Taurat dan Injil serta al-Quran: dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada ALLAH?, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah ayat 111)