Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Friday, 5 October 2012

10 Ucapan Paling Beracun Seorang Penuntut Ilmu - Prof Dr Muhaya


1. 'Saya Tidak Tahu di Mana Nak Mula.'
Ini masalah biasa. Jangan gelabah. Biasalah, kalau kita bingung dengan jumlah subjek yang banyak untuk di-pelajari. Mulakan dengan menyenaraikan semua perkara yang kita perlu tahu dan yang boleh dicari daripada sukatan pelajaran atau segala yang diberitahu oleh pensyarah. Bahagikan beban kerja pada beberapa bahagian yang boleh diurus. Belajar mengutamakan kerja yang utama dan jadualkan masa kita secara realistik. Displinkan diri dengan membiasakan diri kita selama beberapa minit tempoh antara kuliah untuk megulangkaji nota-nota kuliah. Elakkan menangguh kerja ke saat-saat akhir dan mula belajar seawal mungkin dengan tempoh minima empat jam sehari.

2. 'Banyaknya Nak Belajar, dan Masanya Pula Sikit.'
Bijak bertindak. Pastikan kita amalkan BTU (Baca awal, Tumpu, Ulangkaji) terhadap kuliah-kuliah kita. Buat helaian rumusan pengajian untuk semua subjek yang ada. Kerja ini boleh dipermudahkan dengan kumpulan belajar kita. Rumusan ini termasuklah nota kuliah, tutorial, pembelajaran berasaskan masalah dan kerja-kerja makmal yang perlu disaling-kaitkan. Kenalpasti topik-topik yang paling penting yang diberi penekanan oleh pensyarah dan bahagian-bahagian yang sukar difahami.

3. 'Susahnya Subjek Ini, Saya Tak Faham Langsung!'
Bersabarlah! Mempelajari ciptaan Tuhan yang paling tinggi sudah tentu tidak mudah. Tetapi percayalah pada pesanan saya, sebaik sahaja kita memperolehi ilmu pengetahuan, ia akan memberi kepuasan dalam hidup kita. Anggapnya sebagai suatu cabaran. Pendekatan yang baik ialah dengan berbincang dengan rakan- rakan lain dalam kelas. Kita akan rasa lega apabila diberitahu rakan-rakan lain juga mendapati subjek itu sukar. Beranikan diri buat temu janji dengan pensyarah untuk mendapatkan penjelasan bagi bahagian-bahagian yang sukar. Pensyarah sudah tentu amat suka untuk membantu. Secara peribadi saya berasa amat gembira apabila penuntut bertanya kepada saya. Satu perkara penting perlu diingati, bahawa lebih sukar sesuatu subjek itu, lebih berguna ianya untuk masa pratikal klinikal dan pengajian lanjutan lepas ijazah.

4. 'Saya Baca, Saya Faham, Tetapi Saya Tak Boleh Ingat Langsung.'
Berbincanglah. Kita akan ingat lebih baik bagi perkara-perkara yang dibincangkan secara mendalam. Hasil penyelidikan telah menunjukkan bahawa kita ingat 70% daripada apa yang kita bincangkan. Cuba kaitkannya dengan sesuatu yang bermakna kepada kita. Semasa berbincang, cuba kaitkan topik tersebut dengan contoh-contoh sendiri. Cuba salingkait subjek dengan apa yang kita pelajari sebelum ini.

5. 'Agak-agaknya Saya Faham.'
Jangan terlalu yakin. Uji diri sendiri dengan berbincang mengenai subjek tersebut. Bina soalan-soalan dengan rakan-rakan kita mengenai bahagian-bahagian penting dan uji sesama sendiri. Sentiasa ingat fakta yang ditekankan oleh pensyarah semasa dalam kuliah. Kaji hubungkait antara setiap topik. Cuba bina soalan-soalan peperiksaan kita sendiri untuk topik yang dibincangkan dan beri jawapan.

6. 'Banyaknya Nak Kena Ingat.'
Susun atur maklumat kita. Maklumat lebih mudah diingati jika dipersembahkan dalam bentuk rangka kerja yang tersusun supaya maklumat boleh diperolehi semula dengan cara yang sistematik. Ada banyak teknik yang dapat membantu kita menyusun atur maklumat baru.

7. 'Baru Sebentar Tadi Saya Ingat.'
Kaji semula. Selepas membaca satu bahagian kaji semula dan amalkan output learning iaitu mengeluarkan kembali fakta yang dipelajari. Cuba reka soalan mengenai bahagian tersebut dan jawab. Jika kita tidak boleh ingat lagi, baca semula pada tempat yang kita tidak ingat. Lebih banyak kita mengambil masa untuk belajar, lebih banyak yang boleh diingat. Walaupun kita boleh ingat kesemua fakta, kita masih perlu terus belajar kerana pembelajaran berterusan boleh menjadikan bahan yang dipelajari tidak mungkin dilupai. Dengan kata lain kita tidak mungkin terlebih belajar. Walau bagaimanapun, bagaimana kita mengatur dan menggabungkan maklumat baru amat penting daripada berapa lama kita mengambil masa untuk belajar. Bukan berapa lama kita belajar yang penting tetapi berapa banyak yang kita perolehi semasa sesi belajar itu lebih penting. Berapa banyak yang kita telah pelajari boleh dibuktikan daripada jumlah soalan yang boleh dijawab. Cuba sediakan soalan berbentuk esei dan jawab sendiri, kemudian cuba jawab soalan aneka pilihan untuk mengukuhkan apa yang telah dipelajari.

8. 'Tapi Saya Suka Belajar Atas Katil Saya.'
Ini tidak baik. Ambil berat terhadap pelajaran kita. Membaca buku untuk pengajian tidak sama dengan membaca buku cerita. Kita mesti belajar dengan kertas dan pen di tangan dan catat atau buat rajah untuk belajar secara aktif. Kita tidak boleh belajar sambil berbaring. Lagi pun, kita boleh ingat semula lebih baik bila situasi belajar sama seperti situasi semasa ujian. Lebih mirip antara suasana belajar dengan suasana ujian, maka lebih banyak bahan yang boleh diigati semasa ujian.

9. 'Saya Belajar Lebih Baik Pada Saat-saat Akhir.'
Ini tidak benar sama sekali. Ingatan bertambah apabila masa belajar meliputi tempoh masa yang panjang. Sudah pasti jika belajar pada saat akhir ada hormon yang boleh dirembeskan akibat tekanan yang membuat kita rasa tangkas, cergas dan bertenaga untuk belajar. Walau bagai-manapun kecergasan ini akan mengakibatkan kita mudah penat dan diserang gelabah terutama sekali apabila kita dapati terlalu banyak yang mesti dipelajari. Belajar di saat-saat akhir adalah sia-sia dan kesannya akan dirasai semasa peperiksaan. Saya pernah melihat rakan saya yang bersikap sedemikian akhirnya terpaksa mengulangi beberapa kertas dan akhirnya terpaksa mengulangi seluruh tahun akademik tersebut dan ada di antara mereka menamatkan pengajian mereka dua tahun lebih lewat daripada sepatutnya ber-banding dengan siswazah lain. Keadaan ini membuat mereka kecewa dan kurang keyakinan diri.

10. 'Saya Akan Berjaga Sepanjang Malam Sehingga Saya Habis Belajar.'
Keadaan ini kurang produktif. Perkara yang amat penting semasa ujian ialah berfikiran cergas. Elakkan keletihan minda. Rehat sebentar berulang kali semasa mentelaah. Sebelum ujian rehatkan minda kita. Adalah amat penting kita menjaga diri kita sebelum peperiksaan. Makan betul-betul, tidur cukup dan bersenam secukupnya dan berdoalah bersungguh-sungguh.

Dipetik daripada buku Bagaimana Menjadi Seorang Pelajar yang Baik dan Berjaya. Dapatkan buku ini di http://www.assohwah.com


Wednesday, 2 May 2012

Ciri-ciri lelaki dan wanita soleh

 Mengawal Hawa Nafsu

1)Kita boleh perhatikan bagaimana lelaki atau wanita tersebut bergaul. Adakah terjaga batas-batas pergaulannya. Atau, bersenang lenang bercanda bermesra dengan berlainan jantina.

Ini amat penting. Semasa berumah tangga nanti, kedua-dua suami isteri akan bekerja. Seawal 6pagi sudah keluar rumah, pulang pula lewat malam. Maknanya, waktu di pejabat lebih berkualiti daripada waktu di rumah. Lelaki dan wanita yang mengawal hawa nafsu, dan menjaga pergaulan di mana-mana sahaja, sudah pasti lebih terselamat daripada fitnah yang memungkinkan lafaz "Aku Ceraikan Dikau" dilontarkan.

2)
Di bawah naungan al-Quran dan As-Sunnah

Lelaki dan perempuan yang baik sentiasa merujuk kepada al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman hidup. Andai dia ditimpa musibah, kekeliruan dan kesulitan, dia menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan bagi membebat hati yang luka.

Dia tidak akan mengeluh, merungut, mengherdik, marah atas apa yang Allah uji ke atas dirinya. Pendek kata, kita boleh mengenal lelaki dan perempuan yang baik untuk dijadikan pasangan dengan melihat akhlaknya. Selalunya, akhlak lelaki dan perempuan tersebut terserlah ketika dia bersama-sama dengan lingkungan teman-teman rapatnya.

3) Beribadat kepada Allah

Seringkali apabila datang merisik si gadis, bakal ibu mertua akan bertanya, "Kamu kerja apa? Berapa gaji kamu? Pakai kereta apa?" Kita lupa untuk bertanya "Kamu solat tak?"

Lelaki dan perempuan yang baik akan diringankan hatinya untuk melakukan ibadah kepada Allah. Dia rindu untuk sujud merendahkan dirinya sebagai hamba kepada Allah. Kita boleh lihat, bagaimana seseorang itu rajin beribadah atau tidak. Adakah dia menghormati waktu solat ketika tiada keuzuran dan sebagainya.

4) Terikat Hati dengan Masjid dan Dakwah

Bermakna, rajinkah dia mengerjakan solat berjemaah? Sensitifkah dia dengan isu-isu semasa dan terlibat dalam proses dakwah dan humanisasi? Renung-renungkanlah

5) Berakhlak Mulia dan Berbudi Bahasa

Kata orang, hendak mengenal seseorang, kita memerlukan masa sekurang-kurangnya 2minggu. Ya, ada benarnya juga. Masa akan sedikit sebanyak memaparkan sisi-sisi negatif seseorang. Kawan saya Dr. Ahmad Hazim Abd Ghaffar pernah berpesan kepada kami rakan-rakannya (mengikut pemahaman saya seperti berikut):

"Semakin lama anda berkawan dengan saya, anda akan lihat kelemahan-kelemahan yang terdapat pada diri saya. Usahlah anda menggunakan kelemahan-kelemahan tersebut untuk membenci saya. Seharusnya, sama-samalah kita menutup lubang-lubang kelemahan antara satu sama lain kerana kita semua bersahabat kerana-Nya".

Kita boleh lihat bagaimana akhlak seseorang. Bagaimana dia bersama rakan-rakan, guru-guru, ibu bapa dan sebagainya. Ketawa tak ingat alamkah? Bercerita 24 jamkah? Bersuara seperti keldaikah?

Kesimpulan

Sebenarnya, banyak lagi ciri-ciri yang diungkapkan oleh Ustaz Emran Ahmad dalam bukunya Mencari Pasangan Hidup terbitan Alaf 21. Buku yang murah ini (RM16), pasti menjadi nasihat yang berguna bagi mereka yang sudah berkira-kira untuk mencari pasangan hidup.

Akhirnya, jangan terlampau mengharapkan yang terbaik. Jangan terlalu high expectation terhadap pasangan anda. Bukankah "Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka" (Al-Baqarah: 187). Lengkap melengkapi, kurangkan sepatutnya dalam hidup berumahtangga. Contohnya, sepatutnya isteri tukang masak, suami tukang makan dan sebagainya.

Renunglah ciri-ciri di atas. Jika sudah ketemu calonnya, dan bersedia, mulakan langkah pertama. Usah didengar bisikan syaitan yang membenci perkahwinan.

Wednesday, 18 April 2012

MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR


Apabila menyebut malam pertama, pasti semua orang akan terbayang satu malam yang penuh dengan keindahan dan kenikmatan. Nikmat duniawi yang tiada tara! Ya, satu malam di mana pasangan pengantin baru yang sah bergelar suami isteri setelah diijab qabulkan akan bersatu, beradu serta berpadu zahir dan batin. Malam penuh bahagia!

Tetapi, pernahkah terbayang dan terlintas di benak fikiran kita satu malam lain yang juga dinamakan malam pertama, namun ianya bukanlah malam pertama perkahwinan?

Malam itu ialah MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!

Pernahkah engkau melihat kuburan?
Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu?

Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?

“Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?”

Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.



“Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?”



Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!




“Last Breath..”

Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:

“Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri; “Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..” Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?

Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. “Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!”


Bacaan lanjutan: Kubur Menunggu Kita…

Justeru, bersamalah kita fikirkan MALAM PERTAMA ini dengan mata hati.. Semoga cahaya kesedaran bersarang di hati kita dan nur keinsafan tertanjap sekaligus melimpahi jiwa-jiwa kita. Semoga kita semua terlepas dari ‘azab kubur dan beroleh nikmat SyurgaNya di Akhirat kelak. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.

Wallahu a’la wa a’lam bissawab.



Muhtar Suhaili As-Sarawaki
sumber:halaqah.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...